SELANGOR 2 JDT 2

Jaringan sulung Harry Novillo memastikan Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa pulang satu mata dari Cheras selepas terikat 2-2 dengan Selangor dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.


Skuad Harimau Selatan itu turun dengan wajah baru di jentera serangan dengan menurunkan Jorge Santos untuk mengetuai serangan di samping Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid sambil Novillo bergerak di bahagian tengah.

JDT hanya memerlukan tempoh dua minit untuk menggegar gawang anak buah Nazliazmi Nasir itu menerusi Cabrera, namun kelekaan pertahanan dihukum Saiful Ridzuwan Selamat melalui percubaan jarak jauh (m-14) dan Rufino Segovia, dua minit kemudian.

Percaturan Gergasi Merah yang menggunakan dua khidmat import di bahagian pertahanan tengah, Alfonso de la Cruz dan Willian Pacheco, sedikit-sebanyak menyukarkan JDT.

Ia memberi kesan kepada barisan hadapan JDT biarpun Selangor sendiri terpaksa mengorbankan hantaran pendek.

Begitupun, ia masih belum cukup untuk menyekat kelincahan Novillo, namun mujurlah penjaga gol, Khairul Azhan Khalid, cekap menafikan dua kesempatan awal penggempur itu dalam tempoh seminit untuk jaringan penyamaan.

Situasi bertambah baik buat pelawat pada pada separuh kedua yang lebih mencengkam bahagian tengah untuk Novillo membuka akaun jaringan bersama JDT melalui tandukan pada minit ke-68.

Sejak itu, permainan menjadi semakin berat sebelah namun jaringan kemenangan yang diharapkan JDT tidak kunjung tiba, bagaimanapun mereka terus gah di persada Liga Super dengan 25 mata.