Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mengesahkan menandatangani pemain tengah, Endrick Dos Santos, dan penyerang, Antonio German, untuk memperkuatkan skuad Red Giants bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.

Penambahan itu dibuat selepas mengekalkan khidmat pemain import serta penjaring terbanyak Liga Super musim 2018, Rufino Segovia.

Bagi menghadapi musim 2019, skuad Gergasi Merah itu mendapatkan khidmat dua tonggak import baru, iaitu bekas pemain tengah Felcra FC, Dos Santos, dan pemain penyerang yang pernah beraksi untuk Queens Park Rangers, German.

Kehadiran dua pemain itu dilihat mampu meningkatkan kualiti Selangor dan Sathianathan berharap mereka segera menyesuaikan diri dalam pasukan.

"Saya telah memantau persembahan Dos Santos sejak tahun lalu dan berasakan kualiti yang dimilikinya sangat sesuai dengan permainan Selangor," katanya.

"Kami sedang berusaha untuk mendapatkan dua lagi pemain import dengan posisi pertahanan menjadi keutamaan."