Selangor lupakan hasrat miliki khidmat Acosta

Oleh Staff Writer 4 Jun 2018 6704
Selangor lupakan hasrat miliki khidmat Acosta
Ketua jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, mengesahkan pasukannya terpaksa membatalkan hasrat untuk menandatangani bekas pemain import PKNS FC, Jonathan Acosta, atas faktor teknikal dan taktikal.

Pengurus pasukan, Datuk Abdul Rauf Ahmad, sebelum ini mengakui wujud perbincangan pihaknya dengan PKNS untuk mendapatkan khidmat Acosta susulan pengguguran pemain tengah dari Argentina itu daripada skuad The Red Ants bagi memberi laluan kepada Bruno Matos dari Brazil.

Bagaimanapun, hasrat untuk membawa masuk Acosta ketika musim perpindahan kedua yang berakhir semalam tidak menjadi kenyataan.

"Perbincangan itu memang berlaku tetapi kami harus melihat keseluruhan aspek yang diperlukan pasukan, terutama bahagian teknikal dan taktikal skuad serta keperluan posisi diperlukan. Jika dilihat, Selangor memang masih di bawah prestasi sebenar tetapi kami sedang menuju ke arah matlamat tersebut. 

"Khidmat Jonathan Acosta untuk Selangor sudah boleh dilupakan. Saya dan pihak kejurulatihan akan memastikan pemain yang ada sentiasa bersedia untuk diturunkan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain," ujar Nazliazmi.

Situasi itu bermakna Selangor akan mengekalkan barisan pemain importnya, termasuk Ilham Udin Armaiyn, yang sebelum ini dilaporkan akan digugurkan ekoran prestasi kurang memuaskan.

Selangor kini fokus untuk menghadapi PKNS dalam aksi Liga Super di laman sendiri pada Rabu ini.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen