Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, mengakui kekurangan Selangor menjelang aksi dengan Kedah, namun hasrat untuk memecah kebuntuan tiga mata penuh sejak empat perlawanan lalu menjadi keutamaan berdepan lawan itu, malam ini.

Selangor tidak berada di kedudukan terbaik mereka ketika hasrat untuk melunaskan kegagalan tewas di Stadium Darulaman adalah sasaran utama di Stadium Cheras.

Ketiadaan Willian Pacheco yang digantung perlawanan, memerlukan perubahan di bahagian perisai Red Giants dengan lawan yang bakal dihadapi memiliki kelebihan terbaik di jentera serangan.

"Alfonso (de la Cruz) akan bermain, sama ada dengan Razman (Roslan) atau Amirul (Ashraf Ariffin). Pacheco tidak dapat bermain kerana digantung.

"Itu sahaja yang mungkin ada perbuhanan dan yang lain sama seperti skuad yang menentang JDT (Johor Darul Ta'zim) sebelum ini," kata Nazliazmi.

Pertambahan kekuatan Kedah juga antara kerisauan utama Nazliazmi -- kehadiran Paolo Rangel yang merupakan bekas import Selangor bakal menjadi senjata utama Kedah.

Seorang lagi bekas import Selangor, Andik Vermansah, turut menjadi perhatian kejurulatihan Selangor selepas pemain itu menjadi duri dalam daging ketika kekalahan 4-0 kepada Kedah dalam aksi pusingan pertama tempoh hari.

"Pemain-pemain yang ada dalam pasukan Selangor pernah bermain bersama Andik dan Rangel.

"Itu cerita dua, tiga tahun sebelum ini. Saya mengharapkan pemain Selangor tahu dengan permainan dua pemain itu," katanya lagi.