Berita baik buat skuad Gergasi Merah yang akhirnya dapat menguji padang keramat mereka di Stadium Shah Alam tiga hari sebelum sepak mula Liga Super musim 2019 menentang Felda United.

Selangor sebelum ini terpaksa berputih mata apabila tidak dapat menganjurkan sebarang aksi pra-musim di Stadium Shah Alam.

Difahamkan ketua jurulatih, B. Sathianthan, akan dapat menjalankan beberapa sesi latihan di stadium itu bermula Jumaat ini.

"Pengurusan stadium di FAM telah memberikan kebenaran kepada Selangor untuk menjalani latihan di Stadium Shah Alam pada Jumaat ini," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon.

"Kerja penyelenggaraan yang dilakukan sebelum ini memaksa kami tidak boleh menggunakannya lebih awal.

Selangor dalam pada itu menyasarkan kehadiran 20,000 penyokong untuk aksi pertama berdepan Felda United, Ahad ini.

Angka itu akan menjadi penanda aras kepada keberkesanan program pra-musim yang dilaksanakan FAS.

"Kami meletakkan sasaran 20,000 penyokong untuk hadir ke perlawanan Selangor dalam aksi pertama nanti," ujarnya.