Selangor mengekalkan rentak kemenangan di laman sendiri selepas mengecewakan PKNS menerusi keputusan 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Selangor turun ke pertemuan itu berbekalkan keyakinan tinggi selepas membelasah Kelantan, Jumaat lalu manakala PKNS masih mencari kemenangan sejak saingan liga dilangsungkan sepanjang bulan Ramadan ini.

Babak pertama menyaksikan Selangor lebih selesa menguasai pergerakan bola dengan beberapa percubaan ke gawang pelawat.

Kubu PKNS bocor pada minit keenam apabila Rufino Segovia bijak buat tindakan susulan selepas Shahril Saari gagal menangkap kemas percubaan Ilham Udin Armaiyn.

Tersentak dengan jaringan itu, PKNS cuba bangkit dengan rentak lebih kemas.

Hasilnya, dua minit sebelum tamat babak pertama, percubaan leret oleh Safee Sali melepasi jangkauan Khairul Azhan Mohd Khalid di gawang Selangor untuk menyamakan kedudukan.

Bersambung babak kedua, Selangor serta PKNS terus mencipta peluang demi peluang.

Tuan rumah, bagaimanapun, lebih unggul apabila rembatan Evan Dimas Darmono menerjah ke gawang lawan bagi meletakkan Selangor kembali di depan.

Di sebalik asakan oleh PKNS, keputusan 2-1 itu kekal hingga wisel penamat.

"Kami sangat gembira kerana dapat mengekalkan kemenangan ke atas Kelantan dalam perlawanan ini. PKNS memiliki barisan pemain yang berkualiti tetapi kami berjaya mengatasi mereka," kata jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir.

"Pada penghujung permainan, kami hampir menyamakan kedudukan. Bagaimanapun, PKNS gagal mendapatkannya untuk mencuri satu mata," kata jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal.

Imej: Asiana