Selangor hanya menunggu pengesahan rasmi Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Isnin depan untuk menggunakan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang utama saingan Liga Super 2018.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mendapat lampu hijau daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung kebenaran menggunakan Stadium Kuala Lumpur pada minggu ini.

Perkara itu disahkan Naib Presiden FAS merangkap pengurus pasukan, Datuk Abdul Rauf Ahmad, yang optimis Selangor kini 80 peratus akan beraksi di Stadium Kuala Lumpur.

Namun, jika ada halangan lain daripada pihak FMLLP, Stadium Selayang menjadi pilihan alternatif Selangor selain Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

"Kami lebih memilih untuk beraksi di Stadium Kuala Lumpur kerana dapat beraksi pada sebelah malam. Kami telah mendapatkan lampu hijau dan FMLLP sedang menunggu surat daripada pihak DBKL," katanya.


Sementara itu, Abdul Rauf turut menjelaskan pihaknya sudah banyak kali cuba bertanyakan kepada Kerajaan Negeri Selangor berhubung penggunaan Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun, tiada jawapan diberikan selain mereka juga tidak mendapat kebenaran menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Kami telah menghantar surat sebanyak tiga kali kepada pihak Kerajaan Selangor. Tetapi kami tidak mendapatkan sebarang kebenaran mahupun maklum balas," ujarnya.