Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mendedahkan beliau hampir mengikat Dickson Nwakaeme untuk bersama skuad The Red Giants, namun terpaksa melupakan khidmat pemain itu kerana kekangan kewangan.

Selangor bergelut mengharungi dua perlawanan pertama Liga Super musim ini selepas mencatat dua keputusan seri dengan Felda United dan Petaling Jaya City FC.

Prestasi pemain import baru pasukan itu, Antonio German, kini dipersoalkan ramai pihak kerana gagal memberikan impak kepada pasukan berkenaan.

Dengan berdepan kemungkinan digugurkan sebelum jendela perpindahan pemain liga 20 Februari ini, German diakui sebagai pilihan kedua Sathianathan selepas hasratnya untuk mendapatkan khidmat Nwakaeme tidak kesampaian.

Prestasi German kini dalam pemantauan Sathianathan dan dituntut untuk mempamer aksi meyakinkan dalam perlawanan ketiga berdepan PKNS FC, Ahad ini.

"Ejen yang membawa Dickson ke sini terlebih dahulu berjumpa dengan saya.

"Jika saya mahu penyerang yang mampu menjaringkan gol dan mampu memberikan impak positif dalam pasukan, saya akan mengambil Dickson.

"Malangnya kami tidak mampu.

"Jika tidak, dia akan bermain untuk pasukan Selangor musim ini.

"Namun, saya perlu bersikap realistik dengan bajet pasukan ini," katanya.

Terdahulu berlangsungnya majlis ikrar bebas rasuah oleh skuad Selangor di ibu negara, hari ini.

Dengan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) jelas komited untuk membanteras gejala rasuah dalam sukan bola sepak di negara ini.