Selangor mengharapkan kemenangan ke atas PKNS FC dalam saingan Liga Super di Stadium Cheras malam ini sebagai pembakar semangat, apatah lagi mereka akan menghadapi lawan yang sama bagi aksi separuh akhir Piala FA nanti.

Selangor menjadi tuan rumah kepada skuad Semut Merah itu dengan impian memungut mata penuh untuk menjarakkan lagi kedudukan daripada zon penyingkiran.

Kemenangan 4-0 ke atas Kelantan pada 1 Jun lalu memberi lonjakan semangat buat skuad kendalian Nazliazmi Nasir itu dalam menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Begitupun, dia berpandangan PKNS mempunyai kualiti yang berbeza dan pastinya akan tampil dengan corak permainan yang dapat memerangkap Gergasi Merah, sekali gus menafikan mata penuh buat tuan rumah.

Pertemuan ini juga bakal memberi gambaran awal bagaimana kedua-dua pasukan ini bakal berentap dalam separuh akhir saingan Piala FA nanti.

"PKNS adalah pasukan berbeza dengan Kelantan. Mereka hampir dibarisi pemain berpengalaman dan import berkualiti.

"Selangor akan bermain sehabis baik untuk mengutip mata penuh di gelanggang sendiri sebelum sekali lagi berjumpa PKNS di tempat lawan, Ahad ini," katanya.

Mengulas mengenai kesebelasan yang bakal diturunkan malam ini, Nazliazmi memberi bayangan tidak banyak perubahan akan dilakukan berbanding skuad yang beraksi menentang Kelantan.

Hanya Muhammad Syahmi Safari tidak dapat diturunkan kerana kecederaan pergelangan kaki yang dialami dalam pertemuan berkenaan.

"Syahmi tidak dapat bermain malam ini. Namun, kami mempunyai penggantinya seperti Sean Selvaraj, Joseph Kalang Tie dan Amri Yahyah," katanya.