Rufino Segovia atau Endrick Dos Santos?

Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, belum dapat menentukan siapa yang akan digugurkan setelah kedua-dua pemain itu masih dihimpit kecederaan.

Ketika ini, Selangor mempunyai lebihan seorang pemain import selepas mereka mendapatkan khidmat penyerang baru, Ifedayo Olusegun.

Situasi itu sekali gus mengundang persoalan siapakah yang akan digugurkan menjelang tarikh tutup perpindahan kedua pemain, 29 Mei ini.

Sathianathan mengakui sukar baginya untuk membuat keputusan berikutan kecederaan berbeza yang dialami Segovia dan Dos Santos.

"Persoalannya sekarang ini, adakah Segovia boleh bermain lagi pada tahun ini.

"Dia mengikat kontrak selama dua tahun manakala Endrick untuk musim ini sahaja.

"Kecederaan Endrick juga memeningkan kami kerana kecederaan itu tampak tidak begitu serius tetapi dia belum dapat turun berlatih.

"Inilah yang memeningkan kami tetapi akan memuktamadkan keputusannya pada 28 Mei," kata Sathianathan.

Untuk rekod, Dos Santos gagal beraksi dalam tempoh lima minggu kerana mengalami kecederaan paha manakala Segovia sudah tidak beraksi sejak Mac lalu akibat kecederaan tumit, tendon achilles, dan hanya boleh beraksi Ogos depan dalam kempen Piala Malaysia.