Pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir, memberikan bayangan untuk membawa masuk seorang penyerang import bagi memperkuatkan barisan Merah Kuning menghadapi baki saingan
Liga Super musim ini.


Bagi Nazliazmi, beliau berasakan bahagian serangan tidak boleh hanya bergantung kepada Rufino Sergovia untuk meraih jaringan buat pasukan.

Kerana itu, Nazliazmi berasa adalah lebih baik jika seorang lagi penyerang import dibawa masuk untuk bergandingan dengan Sergovia.

Meskipun tidak menyatakan secara terbuka, kelibat pemain tengah bertahan, Alfonso de la Cruz, seakan-akan bakal ditamatkan kerana posisi itu mampu ditampung pemain tempatan.

"Keseimbangan amat diperlukan dalam pasukan dan kami akan cuba mencari pengganti yang lebih baik bagi meningkatkan mutu pasukan," katanya.

Nazliazmi mengesahkan Selangor sudah menyenarai pendek beberapa nama calon import dan pihak pengurusan akan mengumumkan pemain yang dipilih dalam masa terdekat.

Sementara itu, Nazliazmi memberi jaminan Selangor akan lebih bersedia untuk menangani Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super, Sabtu ini.

Meskipun mengakui tugas sukar berdepan JDT, Nazliazmi mahu pasukannya tetap berupaya meraih mata dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan dalam saingan Liga Super.

"Mata amat penting buat Selangor, kami perlu mengutip mata bagi mengelak daripada tercicir dalam saingan Liga Super."