Segovia setia menanti lamaran baru Selangor 

Oleh Staff Writer 9 September 2018 6419
 Segovia setia menanti lamaran baru Selangor 
"Saya mahu kekal bersama Selangor ." Hasrat itu disuarakan penyerang import Selangor, Rufino Segovia, sungguhpun menerima tawaran daripada beberapa pasukan tempatan dan kelab luar untuk cabaran musim depan.

Segovia dianggap pemain import paling menyerlah dalam Liga Malaysia musim ini sekalipun tidak dapat membantu Selangor mara jauh dalam kempen Piala Malaysia.

Ini berdasarkan pencapaiannya dalam kancah liga dengan meledak 19 gol untuk muncul penjaring terbanyak Liga Super 2018.

Aksi cemerlang penyerang prolifik dari Sepanyol itu tampak memikat beberapa pasukan, namun dia melaungkan kesetiaan untuk meneruskan khidmat bersama Gergasi Merah.

"Pilihan utama saya adalah untuk kekal bersama Selangor sekiranya mereka berhajat.

"Saya mendapat banyak tawaran bukan sahaja di Malaysia tetapi saya tidak mahu memikirkan selain daripada Selangor," katanya. 

Segovia, bagaimanapun, mengakui masih belum mendapat tawaran atau mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berhubung masa depannya.

Fokusnya kini adalah memastikan skuad Selangor menutup kempen musim ini dengan nota kemenangan ketika menentang PKNP FC dalam aksi terakhir Kumpulan D, Piala Malaysia, Ahad depan.

"Kami berhempas-pulas untuk layak, malangnya kami gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia. 

"Sempena perlawanan terakhir nanti, kami perlu menampilkan aksi menarik demi penyokong dan kelab.

"Kami perlu bekerja keras untuk mencapai keputusan yang diharapkan," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen