Pemain tengah Selangor, Sean Selvaraj, mahu kekecewaan tersingkir dalam pusingan ketiga Piala FA, Selasa lalu, menjadi titik kebangkitan semangat buat skuad The Red Giants meneruskan saingan Liga Super musim ini.

Meskipun tewas 2-1 kepada Felda United, Sean berkata ia tidak meruntuhkan semangat pasukannya untuk terus menonjolkan aksi yang lebih baik dalam misi memperbaiki kedudukan Selangor dalam Liga Super.

Bagi melupakan sejarah hitam itu, dia optimis Selangor mampu mempamerkan aksi terbaik di laman sendiri berdepan PKNP, esok.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu mengakui mereka perlu lebih berhati-hati dengan ancaman penyerang PKNP, Giancarlo Lopes, dalam aksi ke-10 liga nanti.

"Bukan senang untuk menerima penyingkiran selepas mara jauh musim lalu. Tetapi Selangor perlu bangkit mencari kemenangan," katanya.

Dengan ketiadaan pemain tengah, Nurridzuan Abu Hassan, yang digantung perlawanan ekoran menunjukkan 'isyarat lucah' dalam aksi menentang Perak sebelum ini, Sean menganggap ia tidak akan merencatkan permainan skuad kendalian B. Sathianathan itu.

"Seperti apa yang dikatakan oleh jurulatih, Selangor dibarisi 25 pemain, kami semua bersedia untuk turun beraksi."