Saya rindu posisi saya -- Sumareh

Oleh Staff Writer 13 Julai 2019 751
Saya rindu posisi saya -- Sumareh
Tonggak serangan Pahang, Mohamadou Sumareh, tampak lebih selesa menjadi pemain sayap walaupun berjaya melaksanakan tugasnya sebagai penyerang ketika membantu Tok Gajah mengikat Terengganu 1-1, semalam.

Sumareh menjadi penyerang bidan terjun dalam perlawanan menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
 
Dia dipertaruhkan mengetuai jentera serangan susulan penyerang utama, Dickson Nwakaeme dan Norshahrul Idlan Talaha, mengalami kecederaan.

Bergandingan bersama Lazarus Kaimbi, dia muncul penyelamat Pahang menerusi gol penyamaan untuk memastikan pasukannya meraih satu mata berharga.

"Kami datang untuk menang tetapi Terengganu sentiasa beraksi dengan baik di laman sendiri. Saya semakin sesuai beraksi sebagai penyerang utama.

"Nwakaeme akan cergas sepenuhnya bagi saingan Piala Malaysia dan saya akan kembali beraksi di bahagian sayap kanan, saya rindu beraksi di posisi itu," katanya.

Keputusan seri itu membantutkan hajat Pahang untuk mengesahkan gelaran naib juara Liga Super lebih awal musim ini.

Penolong jurulatihnya, Ahmad Shaharuddin Rosdi, percaya ia mampu direalisasikan andai pemain terus berusaha dalam aksi seterusnya.

"Kami akan pastikan pemain tidak melepaskan peluang dan cuba sehabis mungkin untuk memenangi dua perlawanan itu.

"Kami memiliki kelebihan bermain di laman sendiri dan sudah pasti kami akan gunakan kesempatan ini untuk mengutip seberapa banyak mata,” katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen