Jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim, mahu mengubah mentaliti pemain selain perangai buruk yang sepatutnya tidak ada pada seseorang pemain profesional.

Tanpa berselindung, Fajer melihat tiadanya kekuatan daripada segi mental membuatkan Kelantan terus terperosok dalam situasi lebih sukar andai tidak dibendung.

Malah, kelakuan pemain yang gagal mendisiplinkan diri mereka dalam aktiviti harian manambahkan lagi kesukaran untuk muncul sebagai pemain berkualiti.

"Ketika ini, mereka mempunyai perangai buruk. Contohnya bangun lewat, pemakanan, latihan dan waktu tidur.

"Saya membentuk semula mereka dan mereka haruslah mengubah gaya hidup mereka," kata jurulatih berasal dari Syria itu.

Menjelang tarikh akhir jendela perpindahan kedua ini, Fajer secara terang-terangan menolak kelibat pemain senior yang dilabel sebagai besar kepala, tiada kredibiliti untuk dijadikan contoh kepada pemain muda selain tidak termasuk dalam perancangannya musim ini.

Sudah pasti, menjelang aksi dengan PKNP FC malam ini, Fajer mencongak kemenangan kedua bersama Kelantan.

Namun, ketika Kelantan dalam keadaan serba kekurangan, kebangkitan pemain muda adalah pilihan terakhir yang dimiliki Fajer menjelang misi tiga mata ke atas skuad kendalian Abu Bakar Fadzim itu.

"Anda boleh lihat perbezaannya, pasukan ini sudah berubah. Rentak permainan berbeza ditampilkan skuad ini kerana barisan pemain muda ini mampu menampilkan aksi menarik.

"Kalau dengan pemain senior, rentak ini tidak menjadi. Tempo menjadi perlahan dan apabila kehilangan bola, keseluruhan pasukan berhenti," katanya lagi.