Saya minta maaf -- Tuck

Oleh Tengku Danish Bahri 16 Jun 2019 497
Saya minta maaf -- Tuck
Ketua pasukan, Lee Tuck, meminta maaf kepada penyokong dan pasukan Terengganu FC (TFC) selepas mensia-siakan sepakan penalti dalam aksi bertemu Melaka United, malam tadi.

Pemain kelahiran England itu memiliki peluang dari jarak 12 ela pada minit ke-59 ketika TFC ketinggalan 1-3 di Stadium Hang Jebat, namun percubaannya ditepis Khairul Fahmi Che Mat.

Semangat rakan-sepasukannya begitupun tidak luntur dengan Tuck menyifatkan mereka pantas menaikkan moral masing-masing dan membantunya kembali membantu pasukan.

"Rakan-rakan sentiasa memberikan semangat dan berjaya mengetepikan kekecewaan saya terlepas sepakan penalti tersebut.

"Saya minta maaf kepada pasukan dan penyokong yang hadir, namun kami bekerja keras untuk memastikan dapat pulang dengan sesuatu," katanya.

Dalam aksi malam tadi, TFC ketinggalan 0-2 menerusi jaringan Davy Angan pada minit ke-17 dan Luka Milunovic pada minit ke-30 sebelum Sanjar Shaakhmedov merapatkan jurang empat minit sebelum rehat.

Angan (m-48) menjadikan kedudukan 3-1 dan kegagalan sepakan penalti Tuck hampir menutup terus peluang TFC untuk bangkit.

Shaakhmedov muncul wira TFC dengan meledak gol kedua pada minit ke-72 dan hatrik pada minit ke-82, sekali gus mengikat kedudukan 3-3.

"Kami menunjukkan karakter yang baik untuk mendapatkan mata dari tempat lawan," jelas Tuck lagi.

TFC kini berada di kedudukan ketujuh, berkongsi 21 mata dengan Perak sebelum kedua-dua pasukan membuat perhitungan di Ipoh, Selasa ini.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen