"Saya masih ada kontrak dengan Kuala Lumpur."

Itu reaksi pertahanan The City Boys, Syazwan Andik Ishak, bagi mengulas mengenai perebutan beberapa pasukan yang mahu mendapatkan khidmatnya ketika dia masih mempunyai kontrak setahun dengan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).


Syazwan merupakan pemain negara yang kembali menyertai sesi latihan Kuala Lumpur selepas diberikan cuti rehat pasca Piala Suzuki AFF, tahun lalu.

Jelasnya, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyesuaikan diri kembali dengan latihan pasukan itu selepas sekian lama tidak menyertai sesi tersebut.

"Untuk latihan hari pertama ini, segalanya kelihatan baik.

"Kontrak saya bersama Kuala Lumpur juga masih mempunyai baki setahun lagi.

"Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk kekal bermain dengan pasukan ini.

"Saya berharap untuk sekurang-kurangnya meraih satu piala bersama Kuala Lumpur musim ini," katanya.