"Saya lebih banyak pandang Hadin berbanding isteri saya."

Itu reaksi bersahaja ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, selepas kapten The Fighters, Hadin Azman, sekali lagi menjadi penyelamat pasukan untuk mengikat PKNP FC 1-1 dalam aksi Liga Super, malam tadi.


Hadin mencetus sensasi apabila menghasilkan gol penyamaan Felda dalam pertemuan menentang PKNP di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Itu kali kedua Hadin muncul penyelamat pasukannya selepas aksi menentang Selangor dalam perlawanan pertama liga di Stadium Shah Alam .

Nidzam, yang sedikit kecewa apabila sekadar meraih satu mata, tetap memuji kesungguhan pemainnya, terutama Hadin sebagai watak utama kebangkitan The Fighters.

"Saya tidak tahu bagaimana hidup saya tanpa Hadin. Saya rasa saya lebih banyak pandang dia berbanding melihat isteri sendiri," ujar Nidzam berseloroh.

"Bukan senang untuk memiliki seorang pemain yang mampu memenangi situasi satu lawan satu di bahagian tepi dan menjaringkan gol dalam keadaan permainan buruk daripada pasukan dalam babak pertama."

Sementara itu, ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, mengakui penyerang import, Coulibaly Yero, kini dalam perhatiannya selepas pemain dari Senegal itu mempamer aksi buruk dalam pertemuan menentang Felda itu.

"Saya menunggu dia menjalankan tugas sehingga April ini. Jika tidak dapat, mungkin kami akan melakukan satu permohonan kepada pihak pengurusan untuk mendapatkan penyerang yang sebenar," kata Abu Bakar.