“Saya bukan tamak”, demikian tegas penyerang Perak, Zaquan Adha Abdul Radzak, yang tidak mahu membolot peluang di hadapan gawang tanpa memikirkan apa yang terbaik untuk pasukan dan rakan-rakan yang lain.

Memang benar, mencipta jaringan berjaya mencetus kepuasan sebenar untuk semua pemain bola sepak.

Namun, Zaquan tidak mahu kelangsungan itu menjadikan dirinya tamak untuk mendominasi di hadapan gawang dan mencipta namanya sendiri tanpa memikirkan apa yang terbaik buat The Bos Gaurus.

Sebaliknya, ia perlu melibatkan kesesuaian dan keperluan jentera serangan dalam mengatur gerak di hadapan gawang Kedah dalam aksi malam ini.

"Saya bukan seorang pemain yang tamak.

"Mana-mana pemain yang menjaringkan gol memiliki satu misi yang sama, mahu mendapatkan tiga mata penuh buat pasukan," katanya.

Zaquan mahu melunas dendam tewas kepada Kedah dalam perebutan slot suku akhir Piala FA tempoh hari dengan menegaskan tiga mata penuh akan menjadi milik Perak.

Tidak rela sekali lagi tumpas di laman sendiri, Zaquan mahu menafikan badi Perak kepada Kedah sejak sekian lama.

"Kami memiliki rekod buruk berdepan Kedah sejak 2014, iaitu hanya meraih satu kemenangan.

"Ini adalah masa yang terbaik buat kami menebus maruah beraksi di laman sendiri."