Pemangku jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh, mengingatkan pemain The Red Warriors (TRW) pentingnya mencatatkan kemenangan ke atas Melaka United dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Katanya, semua pemain TRW perlu meningkatkan prestasi kerana hanya kemenangan mampu mengekalkan Kelantan beraksi dalam saingan Liga Super, musim depan.

“Pemain perlu mempunyai semangat melawan yang tinggi dan berusaha sehingga wisel penamat dalam aksi terakhir menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat.

“Mereka (pemain) juga tahu hanya kemenangan mampu mengekalkan TRW dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya selepas aksi persahabatan Kelantan menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.

Sathit juga beranggapan kekalahan 2-3 kepada Terengganu dalam perlawanan itu memberi pengajaran berguna kepada pemain supaya sentiasa fokus dan tidak mudah leka pada minit-minit akhir permainan.

“Kami mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama. Pemain beraksi cukup baik dan banyak menghasilkan serangan ke pintu gol lawan.

“Dalam babak kedua, kami agak leka dan pasukan Terengganu berjaya menjaringkan tiga gol untuk menang. Saya agak kecewa kerana pemain agak leka pada minit-minit akhir perlawanan dan jika itu terjadi dalam perlawanan sebenar, sudah pasti kami akan menyesal,” katanya.

Dalam saingan malam kelmarin, Kelantan mendahului 2-0 dalam babak pertama melalui jaringan penyerang import, Abou Bakr Al Mel pada minit ke-12 dan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-26.

Terengganu bangkit dalam babak kedua apabila menjaringkan gol pertama melalui penyerang import, Tchetche Hermann pada minit ke-53.

Pemain tengah, Ismail Faruqi, menceriakan penyokong pelawat apabila menjaringkan gol penyamaan melalui rembatan kencang pada minit ke-60.

Ketika perlawanan dijangka seri 2-2, Muhammad Sharin Sapien muncul wira Sang Penyu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 hasil kelekaan benteng tuan rumah.