Bekas jurulatih Felda United, B. Sathianathan, menyerahkan afidavit kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalan bekas majikannya itu melangsaikan tunggakan dua bulan gaji dan baki yuran perpindahan yang masih belum diselesaikan.

Sathianathan tidak mahu menunggu lama dan berang dengan tindakan pihak pengurusan Felda United yang langsung tidak menghubunginya untuk memberikan penjelasan.

Ketika afidavit itu sudahpun di tangan FAM, Sathianathan mendapat perkhabaran hutang hampir RM700,000 itu akan diselesaikan menerusi pemotongan geran yang akan diperoleh Felda United bulan ini.

"Jika saya teruskan dengan afidavit berkenaan, mereka perlu membayarnya dengan jumlah yang lebih besar.

"Adalah lebih baik jika mereka menyelesaikannya secara terus dengan saya.

"Segala kontrak tersebut merupakan kontrak yang sah tanpa sebarang maklumat terselindung.

"Mereka perlu menyelesaikannya mengikut kontrak berkenaan," katanya.

Pengendali berkenaan akan memberikan tempoh sehingga penghujung bulan ini dan sekiranya tidak berlaku sebarang pembayaran, dia tidak akan teragak-agak untuk membawa isu itu ke peringkat lebih tinggi.

Ironinya, aksi pertama Selangor di bawah kendalian Sathianathan akan menyaksikan pasukan itu melayani kunjungan Felda United, malam ini.

Sathianathan menuntut kemenangan daripada anak buahnya biarpun menyedari aksi pertama pada awal musim sering memberikan kesukaran dalam mencari keserasian di atas padang.

"Di atas padang, apa-apa sahaja boleh berlaku.

"Mereka pasti sedang bermotivasi tinggi untuk menewaskan kami.

"Setiap pasukan mahu menewaskan Selangor.

"Ia pasti akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami," tambahnya.