Ketua jurulatih Selangor B. Sathianathan, tidak panik dengan kekalahan besar kepada juara Liga Kemboja, Preah Khan Reach Svay Rieng FC, apabila menegaskan keutamaannya mahu membentuk pasukan mantap bagi menghadapi Liga Super musim ini.

Kelmarin, Selangor mengharungi aksi pemanas badan ketiga sebelum memulakan kempen musim ini apabila mengadakan perlawanan persahabatan tertutup di Stadium Selayang.

Menentang lawan yang dibarisi majoriti pemain daripada skuad kebangsaan Kemboja, anak buah Sathianathan itu terpaksa akur dengan kekalahan 4-0.

Keputusan itu mengundang kritikan daripada segelintir penyokong Selangor tetapi jurulatih itu menegaskan ia medan persediaan buat pasukan itu menjelang Liga Super musim ini.

"Memang dalam aksi persahabatan di permulaan, terutama dalam bulan ini, saya tidak boleh lihat keputusan. Saya mahu tengok kecergasan pemain. Ada pemain baru, keserasian perlu diraih," katanya.

"Kelmarin kami tewas 4-0. Babak pertama 4-0 tetapi separuh masa kedua tiada sebarang jaringan. Saya memberi peluang beraksi kepada semua pemain. Apa yang saya lihat, daripada segi kecergasan sudah bagus tetapi banyak perkara perlu diperbaiki."

Selangor akan berdepan kelab Vietnam, Hanoi FC, Rabu depan sebelum mengharungi saingan Piala Cabaran Asia tiga hari kemudian menentang kelab Indonesia, Persib Bandung, dan wakil Thailand, Bangkok United.

Selepas itu, mereka akan terbang ke China untuk menyertai kejohanan jemputan Piala Meizhou Hakka sebelum meneruskan sesi latihan dan aksi persahabatan di tanah air.



Editor: Nafis Abdullah