Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mengakui pertembungan pengalaman tidak memainkan peranan utama menjelang aksi dengan PKNS FC yang diterajui bekas pengendali kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

Sathiananthan mahupun Rajagobal memiliki pengalaman hampir sama di pentas kebangsaan.

Ramai beranggapan acuan yang diterapkan kedua-dua pengendali ini akan mencetuskan saingan menarik di Lembah Klang hujung minggu ini.

Sathianathan mengakui kelebihan yang dimiliki kedua-dua jurulatih tetapi yang akan mencorakkan aksi 90 minit nanti tetap bergantung kepada barisan pemain.

"Kebanyakannya terpulang kepada pemain.

"Dalam soal persiapan dan percaturan sepanjang minggu ini, tanggungjawabnya digalas jurulatih tetapi akhirnya apabila di atas padang, 11 pemain yang akan menentukan (keputusan perlawanan)," katanya.

Selangor masih tercari-cari rentak sebenar walaupun sudah melewati dua perlawanan liga, justeru Sathianathan masih belum gembira dengan prestasi pemain.

Jelasnya, keberkesanan tunjang utama seperti Syahmi Safari dan Faiz Nasir akan memainkan peranan utama selain kelibat import diharap mampu beraksi di tahap sebenar.

"Kami agak bimbang dengan keadaan Taylor Regan yang mengalami kecederaan ketika bertemu Petaling Jaya City FC hujung minggu lalu.

"Antonio German pula masih belum pulih daripada demam biarpun diturunkan ketika menghadapi Petaling Jaya. Tetapi akibat terlalu ingin bermain, dia gagal menampilkan prestasi terbaik.

"Kalau diturunkan selepas ini, saya harap dia dapat menunjukkan prestasi yang sama seperti perlawanan pertama (bertemu Felda United)," katanya.