Percaturan Pahang menurunkan barisan kedua ketika berdepan Selangor memakan diri apabila tewas 2-5 yang menyaksikan penyerang, Ifedayo Olusegun, meledak hatrik dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Pelawat merehatkan kesemua tonggak utamanya bagi mengelak risiko kecederaan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA di Ipoh, Sabtu ini.

Situasi itu memberi kelebihan buat Gergasi Merah apabila membuka jaringan menerusi Khryil Muhymeen Zambri yang menanduk masuk sepakan percuma Sandro Da Silva pada minit ke-30.

Selang enam minit, tuan rumah semakin selesa di depan apabila pemain import dari Nigeria itu bijak memanfaatkan peluang di depan gol sebelum dia sekali lagi merobek gawang lawan pada minit ke-43.

Hanya seminit selepas rehat, Selangor mengukuhkan kedudukan dengan gol keempat, kali ini hantaran Olusegun disempurnakan Endrick Dos Santos.

Enggan dibelasah, skuad kendalian Dollah Salleh itu memasukkan beberapa tonggak utama dan hasilnya, mereka merapatkan kedudukan menerusi R. Kogileswaran pada minit ke-67.

Mohamadou Sumareh yang bertindak sebagai pemain gantian kemudian menyumbat gol kedua Tok Gajah pada minit ke-76.

Namun, kebangkitan mereka pantas dipadamkan anak buah B. Sathianathan itu apabila Olusegun melengkapkan jaringan hatriknya, lima mint sebelum tamat perlawanan.

"Saya terpaksa ambil risiko dengan merehatkan pemain kesebelasan utama disebabkan kami lebih tumpukan kepada Piala FA.

"Dalam babak pertama, pemain yang diturunkan bukannya tidak cergas tetapi mereka kekurangan 'kecergasan minit permainan' kerana rata-ratanya merupakan pemain yang diturunkan buat kali pertama," ujar Dollah dalam sidang media pasca-perlawanan.

Sementara itu, Sathianathan tidak mahu menjadikan alasan wakil Pantai Timur itu yang mempertaruhkan barisan kedua mengaburi kemenangan tersebut.

"Tahniah kepada barisan pemain yang mengalahkan Pahang.

"Sudah seminggu kami membuat persiapan sejak bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), Rabu lalu.

"Kalau Pahang tidak meletakkan pemain utama, kami tidak boleh buat apa-apa kerana kami hanya mahu teruskan aksi dan akhirnya meraih kemenangan.

"Pengkritik jangan lupa, kami tidak kalah dalam aksi (pusingan pertama liga) di Kuantan walaupun ketika itu, mereka menurunkan skuad utama," katanya.