Biarpun gagal meraih sebarang piala musim ini, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon, berasakan ketua jurulatih pasukan itu, B. Sathianathan, sudah mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dan akan dikekalkan bagi musim depan.

Dr. Johan menjelaskan kemampuan Sathianathan untuk menempatkan skuad Gergasi Merah itu dalam separuh akhir Piala Malaysia, biarpun dalam keadaan serba kekurangan, telah mencapai KPI yang ditetapkan oleh FAS.

"Jika dilihat daripada segi perbelanjaan yang tidak begitu besar, kami mengatasi beberapa pasukan yang berbelanja lebih besar.

"Bagi kami, ia satu kejayaan.

"Kalau dilihat daripada segi jaringan gol, kami berada di tangga kedua di belakang JDT (Johor Darul Ta'zim).

"Jadi, daripada aspek serangan, Selangor masih antara yang terbaik dalam liga.

"Komponen yang perlu diperbaiki adalah pertahanan kami," katanya.

Bagi memastikan kecemerlangan Selangor musim depan, FAS telah mula mempersiapkan pasukan itu dengan menandatangani beberapa pemain baru.

"Kami bersedia untuk mengekalkan jurulatih Sathia untuk setahun lagi.

"Beliau tahu apa yang perlu diusahakannya.

"Kami juga sudah mengenal pasti dan menandatangani pemain yang akan dibawa masuk.

"Mungkin satu atau dua sahaja tetapi secara amnya, pasukan Selangor sudah bersedia untuk musim depan," tambahnya.

Sementara itu, Dr. Johan belum menerima sebarang kata putus daripada penyerang veteran Selangor, Amri Yahyah, yang dikhabarkan akan bersara.

Bagaimanapun, pemain berusia 38 tahun itu masih mempunyai kontrak yang berbaki setahun lagi bersama Selangor.

"Buat masa ini, dia tidak beritahu apa-apa kepada saya atau pihak pengurusan, jadi saya tidak tahu.

"Mungkin ia khabar angin, saya tidak tahu.

"Amri sebenarnya mempunyai (kontrak) setahun lagi bersama kami," katanya.

Selain itu, beliau turut mengesahkan empat pemain import pasukan itu telah menandatangani kontrak lanjutan selepas FAS berpuas hati dengan prestasi mereka.

"Kami telah membuat kerja dan menandatangani (semula) tiga ke empat pemain untuk tahun depan.

"Kami sudah memulakannya sejak dua bulan lalu," katanya lagi.