Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, runsing dengan kecederaan saat-saat akhir watak penting pasukannya, Rufino Segovia, dan tonggak pertahanan, Taylor Regan, menjelang aksi penting Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam, malam esok.

Ketika Selangor memerlukan kekuatan terbaik untuk berdepan JDT, berita terbaru yang diterima itu membuatkan Sathianathan resah.

Kecederaan otot perut membuatkan Segovia gagal menamatkan sesi latihan terakhir hari ini dan situasi Regan masih sukar untuk diputuskan Sathianathan.

Dalam masa sama, Khyril Muhymeen Zambri, yang dianggap sebagai antara penyelamat Selangor, juga tidak dapat diturunkan dalam perlawanan itu ekoran kecederaan.

"Rufino tidak pernah seperti itu.

"Apabila berlatih, dia akan berlatih bersungguh-sungguh.

"Tetapi hari ini dia minta untuk keluar kerana kesakitan di perut.

"Ia menunjukkan kami kurang bernasib baik.

"Saya tidak tahu mengapa ia boleh terjadi, namun saya berharap mereka berdua dapat diturunkan ketika kami berdepan pasukan terkuat di Malaysia," katanya.

Ketibaan Fandi Othman dan Sandro Da Silva, bagaimanapun, memberikan sedikit kelegaan buat Sathianathan.

Jelasnya, Fandi akan diberi peluang untuk membantu barisan serangan dengan mengekalkan Nurridzuan Abu Hassan di posisi pertahanan kiri.

"Bukan senang buat Sandro yang baru tiba dari Brazil dengan penerbangan 30 jam.

"Dia memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk menyesuaikan diri.

"Nuri pula beraksi baik sewaktu menentang Pahang, jadi saya akan mengekalkannya di posisi pertahanan kiri," tambahnya.