Misi menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Super menjadi tumpuan utama ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, meskipun tetap berwaspada dengan keupayaan anak buah K. Rajagobal.

Selangor perlu meraih tiga mata dengan harapan Felda United berjaya menewaskan Kedah di Jengka untuk merebut tempat ketiga Liga Super.

Sathianathan menyedari perlu berhadapan situasi sukar apabila PKNS merupakan pasukan berpengalaman dengan sentuhan pengendali, Rajagobal, yang sudah lebih dua tahun itu.

Namun, jurulatih berusia 61 tahun itu mahu skuad kendaliannya memberikan tumpuan kepada perlawanan malam esok dan melupakan kekalahan 4-0 di tangan PKNS, Februari lalu.

"Kami bukan mahu membalas dendam tetapi kami mahu membuktikan persembahan kami telah diperbaiki. Saya memberitahu kepada pemain-pemain supaya memberikan tumpuan kepada mutu permainan Selangor," katanya.

Sementara itu, tonggak utama Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun, mengakui perlu mempertingkat tahap permainan menjelang perlawanan terakhir Liga Super itu.

"Saya tidak menyaksikan perlawanan PKNS sebelum ini, tetapi mereka memiliki barisan pemain yang berkualiti diketuai oleh penyerang, Kpah Sherman," kata Ifedayo.