Jurulatih Selangor, B Sathianathan, menganggap susunan jadual musim 2020 tidak menyebelahi Selangor apabila dijadualkan bertemu pasukan terbaik dalam lapan perlawanan awal saingan Liga Super.

Ia permulaan yang sukar buat Selangor dalam penampilan awal musim berikutan bakal bertemu lapan pasukan terbaik di atas kertas bagi saingan Liga Super 2020.

Skuad Gergasi Merah itu dijadualkan bertemu Pahang dalam aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga-M) sambil Johor Darul Ta'zim (JDT) menanti dalam perlawanan kelapan sebelum mereka berhadapan dengan saingan lebih mudah, iaitu bertemu UiTM FC dan PDRM FA dalam aksi seterusnya.

"Saya lebih rela berada di tempat jurulatih-jurulatih lain yang mempunyai empat perlawanan yang lebih mudah.

"Orang kata saya (gemar) beri alasan tetapi tengoklah jadual perlawanan betul-betul.

"Saya bukan mahu beri alasan tetapi jurulatih di Eropah sekalipun, mereka pasti akan bising," katanya di Shah Alam, hari ini.

Sebarang kemungkinan sudah pun menjadi penelitian jurulatih berpengalaman itu, namun ia tidak bermaksud mereka sudah mula patah semangat sebelum memulakan langkah dalam saingan musim ini.

Tegasnya, beberapa strategi sudah dirangka berdasarkan kekuatan pasukannya yang dilabel jauh lebih berkualiti jika dibandingkan dengan musim lalu.

"Daripada segi psikologi, ia memang sukar.

"Penyokong akan marah dan tahap keyakinan pemain akan menurun (kalau tewas).

"Tekanan itulah yang digalas jurulatih.

"Apa boleh buat, jadual perlawanan sudah pun dikeluarkan, kami kena kental untuk menghadapi cabaran itu tetapi secara peribadinya, saya berpendapat ia sukar."



Editor: Shaiful Shamsudin