Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, tampak sedia untuk menjadi jurulatih pertama yang direhatkan musim ini selepas beliau dikatakan menerima surat amaran daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sejurus kekalahan 0-4 menentang PKNS FC, malam tadi.

Selangor, yang dicanang sebagai antara pencabar kejuaraan liga musim ini, bermula hambar susulan sekadar seri ketika menentang Felda United dan Petaling Jaya City FC sebelum ini.

Ditagih untuk bangkit dalam aksi ketiga bertemu pasukan 'adik', PKNS FC, nasib Gergasi Merah lebih buruk apabila mengalami kekalahan besar di Stadium Shah Alam.

Ia mengundang kemarahan penyokong dan Sathianathan diberi peluang untuk menyelamatkan kedudukannya dalam tiga perlawanan sahaja lagi.

"Dalam situasi ini, tindakan yang harus diambil FAS adalah sama ada dengan menukar pemain ataupun jurulatih.

"Kalau pihak pengurusan mahu saya kekal, maka saya akan kekal untuk membetulkan situasi ini.

"Bagaimanapun, saya memerlukan sokongan moral," kata Sathianathan.

Aksi buruk Selangor berpunca daripada prestasi hambar pemain importnya, termasuk penggempur utama, Rufino Segovia.

Sementara itu, jurulatih Semut Merah, Datuk K. Rajagobal, kekal merendah diri sungguhpun barisan pemainnya memberi amaran awal kepada pasukan lain berdasarkan kemenangan itu.

"Ini bukan petanda kepada pasukan lain untuk berwaspada dengan PKNS.

"Namun, sebagai jurulatih, saya gembira kerana permainan yang baik adalah demi masa depan pemain itu sendiri," kata Rajagobal.