Ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, dan pengendali Selangor, B. Sathianathan, enggan menjadikan reputasi masing-masing sebagai keutamaan, sebaliknya meletakkan kemenangan pasukan sebagai perkara paling penting dalam aksi "derby" Lembah Klang, malam ini.

Aksi di Stadium Shah Alam itu akan menyaksikan pertemuan dua bekas jurulatih negara, Sathianathan dan Rajagobal.

Kedua-dua individu itu akan berentap dengan membawa misi sama, iaitu untuk mendapatkan kemenangan sulung musim ini.

Tatkala Selangor mencatat dua keputusan seri, PKNS FC pula sekadar seri sekali dan tewas sekali.

Ia akan menjadikan pertemuan itu semakin menarik, apatah lagi kedua-dua pasukan berkenaan ditunjangi jurulatih yang pernah membimbing skuad kebangsaan.

"Ia bukan masalah," kata Sathianathan.

"Ia bukan tentang kedua-dua jurulatih tetapi tentang pemain kedua-dua pasukan.

"Rajagobal memiliki kekuatan tersendiri. Saya juga memiliki kelemahan saya.

"Kami hanya musuh di atas padang tetapi tetap bersahabat di luar padang.

"Kami mungkin akan kekal bersahabat untuk 20 tahun akan datang.

"Jadi, ia tidak menimbulkan sebarang masalah."

"Kami perlu menghormati kesemua pasukan," kata Rajagobal.

"Saya selalu tekankan kepada setiap pemain agar tidak memandang rendah sesiapa.

"Ia tidak sepatutnya menjadi tumpuan kerana apa yang lebih penting adalah perlawanan itu.

"Saya berharap pemain saya dapat beraksi dengan baik," katanya.