Kecederaan lutut serius yang dialami Nor Hakim Hassan menjadi penghalang kepada pemain kelahiran Terengganu itu untuk beraksi pada musim 2020.

Justeru, jurulatih Selangor, B. Sathianathan, tiada pilihan selain terpaksa mencari penggantinya selain enggan mengambil risiko dengan menyenaraikannya bagi cabaran musim 2020.

Ia keputusan sukar buat bekas pengendali kebangsaan itu yang mengakui bukan mudah untuk mendapatkan pemain berkualiti tatkala setiap pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sedang dalam persiapan untuk permulaan saingan 2020.

"Ketika Nor Hakim menyertai Selangor daripada Perak, kami telah melakukan ujian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pakar-pakar yang ada mengatakan dia tiada masalah.

"Tetapi apabila dia mula berlatih di sini, dia dilanda kecederaan," katanya di padang latihan di Shah Alam, hari ini.

Beberapa nama kini berada dalam radar Gergasi Merah.

Fitri Omar antara yang mendapat perhatian, namun tegasnya, belum ada sebarang kata putus kerana dia juga sedang meneliti beberapa nama lain untuk diketengahkan dalam pasukan.

"Kami menandatangani 23 pemain, bukan seperti dahulu iaitu 30 pemain, kerana kami ada pasukan Selangor II.

"Saya harap pemain muda boleh mengambil tempatnya dan saya juga meminta daripada pihak pengurusan supaya membawa masuk seorang lagi pemain.

"Nama Fitri telah timbul tetapi saya ada dua atau tiga calon pemain lagi (yang sedang dalam pertimbangan).

"Saya dah tahu latar belakang dan pernah bekerjasama dengan mereka, cuma saya ingin tahu kedudukan mereka," katanya lagi.



Editor: Shaiful Shamsudin