Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, memuji semangat skuad The Red Giants apabila bangkit membenam pasukan 'adik', PKNS FC, 3-2 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

Beliau berkata barisan pemainnya menunjukkan persembahan cemerlang walaupun kehilangan beberapa tonggak utama atas faktor kecederaan.

"Kami berjaya mengawal permainan dengan dua gol yang berjaya kami jaringkan datang daripada 'set piece', namun sebenarnya kami mampu menghasilkan lebih daripada tiga gol tetapi apabila kami mendahului 3-1, pemain mula hilang bola.

"Walau bagaimanapun, syabas buat pemain," katanya.

Sathianathan dalam masa sama berkata secara keseluruhan, anak buahnya bermain dengan baik dan bekerja keras untuk berada dalam kelompok empat teratas carta Liga Super musim ini.

Sementara itu, pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal, mengakui kekalahan tersebut berpunca daripada kesilapan mudah barisan pertahanan pasukannya, sekali gus memberi peluang kepada Selangor untuk menambah jaringan.

"Kami berjaya menjaringkan gol pertama pada minit awal permainan tetapi akibat kelekaan, kami dibolosi dua gol. Pada babak kedua, kami sekali lagi dibolosi.

"Kami cuba melakukan beberapa serangan dan akhirnya berjaya mendapatkan gol kedua, namun ia sudah terlambat," jelas bekas pengendali skuad kebangsaan itu.

Dalam aksi di Shah Alam itu, PKNS FC mendahului menerusi jaringan pemain import dari Colombia, Romel Oswaldo Morales, seawal minit kedua perlawanan sebelum Selangor bangkit meraih dua gol, masing-masing menerusi Sandro Da Silva pada minit ke-39 dan Ifedayo Olusegun pada minit ke-43.

Ifedayo mencipta gol peribadi kedua pada minit ke-51 sebelum PKNS FC merapatkan defisit menerusi Tamirlan Kozubaev pada minit ke-77.

-- BERNAMA