Jurulatih Selangor, B. Sathianathan yang turut berdepan dilema tunggakan gaji daripada bekas majikannya, Felda United yang tidak membayar gajinya selama tiga bulan, mengakui masalah itu berpunca daripada pasukan berbelanja melebihi kemampuan sebenar.

Beliau juga kurang senang apabila mengetahui sebahagian majikan menyalahkan perubahan kerajaan pada pertengahan tahun ini sebagai punca tiada lagi sumber kewangan.

Menurutnya, ia satu perkara yang subjektif dan tanda kebanyakan pasukan sebenarnya tiada perancangan khusus dalam menjana pendapatan.

"Mengapa ia semakin kritikal? Perancangan mereka tidak rapi. Berbelanja besar tanpa membuat pengiraan hingga tamat musim," katanya.

Mengenai isu dengan Felda, Sathianathan menggesa pengurusan jangan diam berpeluk tubuh dan melarikan diri daripada tanggungjawab selain hairan mereka masih boleh membentuk pasukan dalam situasi sebegini.

"Saya telah menghantar e-mel kepada pasukan tetapi mereka masih lagi tidak mempunyai kata putus untuk membayar tunggakan gaji saya," ujarnya.

"Setakat ini, isu tunggakan gaji daripada pasukan terdahulu masih lagi belum diselesaikan. Saya berharap pihak FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat membantu untuk menyelesaikan masalah ini," kata pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria.