Pengendali Selangor, B. Sathianathan, memohon maaf kepada peminat pasukan itu kerana tidak meraikan kemenangan bersama-sama selepas menumpaskan PKNP FC 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Sathianathan berkata pemainnya bukan sengaja tidak mahu pergi kepada penyokong selepas tamat perlawanan berkenaan tetapi mereka terlalu letih kerana bermain di atas permukaan padang yang basah selepas hujan lebat sebelum perlawanan bermula.

"Saya ada tanya mereka (pemain) kenapa mereka tidak mahu pergi ke tempat duduk 'Ultras Selangor (penyokong)' selepas tamat perlawanan dan mereka kata terlalu letih bermain di atas padang yang basah dan dengan tekanan yang diberikan, saya selaku sebahagian daripada pasukan Selangor memohon maaf kepada peminat yang hadir.

"Lagi satu, ada peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang perlu saya patuhi, iaitu selepas tamat perlawanan, sekiranya ada pihak yang mahu saya memberikan ulasan, saya kena ikut. Jika tidak, saya akan didenda.

"Jadi, saya mohon maaf kepada peminat dalam hal ini," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan berkenaan.

Sementara itu, beliau memuji anak buahnya yang beraksi begitu baik dalam separuh masa pertama walaupun terpaksa bermain tanpa tonggak utama yang tidak dapat diturunkan kerana kecederaan.

Katanya, kombinasi pemain simpanan yang dimasukkan jelas menunjukkan Selangor mampu bermain tanpa pasukan utama.

"Kami tiada pasukan utama yang tetap jadi dalam perlawanan ini, saya menggunakan pemain simpanan tetapi mereka menunjukkan persefahaman yang baik dan saya juga memberitahu kepada mereka supaya melupakan kekalahan kepada Felda United dan tumpu kepada aksi PKNP FC, ini keputusan yang kami dapat," katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, Selangor mengutip tiga mata selepas menewaskan PKNP FC 2-1 menerusi jaringan Sandro Da Silva dan Syahmi Safari manakala gol sagu hati PKNP FC dijaringkan Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri.

Dengan kemenangan itu, Selangor kini melonjak ke tangga ketiga Liga Super selepas mengutip 16 mata selepas 10 perlawanan.

-- BERNAMA

Kredit imej: Selangor FA