Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, menempelak tindakan sesetengah pemainnya yang memilih untuk terlalu bergaya dalam mencari jaringan sehingga memberikan kerugian kepada pasukan.

Tanpa sebarang senyum di wajahnya, ia sudah cukup untuk menggambarkan ketidakpuasan hatinya terhadap keputusan seri yang diraih Selangor semalam.

Ia tidak berlangsung seperti yang diharapkan jurulatih berkenaan memandangkan kegagalan itu berpunca daripada keputusan kurang bijak yang dilakukan pemainnya di atas padang.

Kesannya, mereka terlepas beberapa peluang terbaik untuk mencetak jaringan dan Felda United disifatkan Sathianathan sebagai pasukan yang bijak mengambil kesempatan.

"Kami amat bodoh.

"Kami bodoh kerana kerap masuk melalui bahagian tengah.

"Kami sepatutnya memanfaatkan bahagian sayap.

"Adakalanya pemain saya lebih gemar untuk menghasilkan gol yang cantik.

"Mereka gemar melorongkan bola yang akhirnya mengakibatkan pasukan lawan menghasilkan serangan balas.

"Kami sepatutnya menggunakan bahagian tepi seperti yang saya arahkan.

"Namun, adakalanya pemain akan bertindak seperti itu," katanya.

Sathianathan turut tidak berpuas hati dengan kualiti permukaan padang di Stadium Shah Alam.

Proses membaik pulih yang dilakukan sejak dua bulan lalu gagal mencapai tahap yang diinginkan pengendali itu.

"Tahukah anda bahawa kami hanya dapat menggunakan padang ini sehari sebelum perlawanan kerana proses membaik pulih yang dilakukan selama dua bulan?

"Mereka memberitahu saya bahawa mereka memerlukan 40 hari untuk memperbaiki permukaan padang.

"Adakah ia kelihatan seperti telah menjalani proses baik pulih selama 40 hari?

"Saya rasa tidak.

"Saya boleh memperbaiki padang itu dalam tempoh dua minggu.

"Jika tidak percaya, anda boleh bertanyakan kepada pasukan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," tambahnya.

Kejayaan membawa pulang satu mata dalam aksi pertama musim 2019 dianggap sesuatu yang besar buat pasukan bukan pilihan seperti Felda United.

Pengendalinya, Nidzam Jamil, menegaskan cara yang diterapkannya ke dalam pasukan itu banyak dipengaruhi corak yang sering diterapkan mentornya, Sathianathan.

Dia yang merupakan penolong jurulatih ketika Felda United di bawah kendalian Sathianathan mengakui memperoleh banyak ilmu berguna daripada jurulatih berpengalaman itu.

"Saya berasa janggal untuk berada di sebelah Sathianathan memandangkan sebelum ini saya sentiasa di belakang untuk membantunya.

"Apabila Hadin Azman menjaringkan gol, saya berasakan banyak yang saya pelajari daripadanya selama ini.

"Saya berasakan dia masih mentor saya dan sehingga saya tua sekalipun dia akan tetap menjadi "bos" saya," katanya.