Di sebalik kemeriahan pelancaran jersi baru pasukan Selangor, pengendalinya, B. Sathianathan, melahirkan kerisauan mengenai skuad The Red Giants yang masih belum diberikan kebenaran untuk menggunakan Stadium Shah Alam walaupun saingan Liga Super akan bermula awal bulan depan.

Selangor akan melayani kunjungan Felda United dalam perlawanan pembukaan di Stadium Shah Alam pada 3 Februari ini.

Bagaimanapun, rata-rata pemain Selangor masih belum menjalani latihan di stadium yang masih menjalani proses penambahbaikan itu.

Sathianathan, yang ditemui dalam majlis pelancaran jersi pasukan Selangor di Sunway Resort & Spa, Bandar Sunway, petang tadi, khuatir kegagalan proses itu siap mengikut jadual yang ditetapkan bakal mengundang padah buat pasukannya.

"Kami perlu menjalani latihan di padang Stadium Shah Alam.

"Namun, sehingga kini, kami tidak dapat melakukannya.

"Ia mungkin berlarutan sehingga liga bermula nanti.

"Berdasarkan pengetahuan saya, sejak beberapan tahun lalu, perlawanan pertama Selangor akan ditunda atau dijalankan di laman lawan.

"Saya tidak faham mengapa kerja penyelenggaraan perlu dijalankan pada waktu-waktu akhir.

"Ia bukan alasan yang dapat diterima," katanya.

Pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad, menjelaskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mencuba untuk menyediakan Stadium Shah Alam selewat-lewatnya Jumaat depan.

"Seboleh-bolehnya kami mahu menggunakan stadium itu sebelum perlawanan pertama liga.

"Kami sedang berusaha dan sedar kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilakukan," katanya.

Sementara itu, Selangor menyambut baik hasrat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk melaksanakan sistem kawalan ekonomi persis LaLiga, Sepanyol, bagi membendung masalah hutang yang membebani beberapa pasukan di negara ini.

Selangor juga sudah mewujudkan inisiatif dengan berbelanja berdasarkan bajet tahunan dan tidak tunduk kepada harga pemain yang melebihi kantung pasukan itu bagi mengelakkan mereka terjerumus ke kancah hutang dan tunggakan gaji pemain.

"Kami perlu bertindak tegas kerana menyedari jika kami terlalu mengikut kehendak pemain, ia mungkin akan menjejaskan pasukan dan merosakkan tangga gaji mereka," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon.