Pengendali Selangor, B. Sathianathan, mengakui kegagalan pasukannya menggunakan deretan peluang yang dimiliki menyebabkan The Red Giants sekadar seri 1-1 ketika berdepan Felda United dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Walaupun mendahului menerusi penggempur import, Antonio Timothy German, Selangor gagal menambah jaringan di sebalik dihidangkan banyak peluang dan Felda kendalian Nidzam Jamil jelas lebih bijak menggunakan kesempatan untuk mengikat kedudukan menerusi kapten, Hadin Azman.

Bagi Sathianathan, dia mengakui anak buahnya gagal beraksi di tahap sebenar, terutama bahagian tengah, yang menyaksikan pelawat lebih mudah mematikan setiap pergerakan Selangor yang ditunjangi pemain lincah, Faiz Nasir.

"Dua mata dicicirkan. Kami tidak menggunakan sepenuhnya peluang yang ada serta gagal beraksi pada tahap sebenar. Kami memberikan lawan banyak kawalan bola di bahagian tengah," kata Sathianathan.

Bagi Nidzam, dia melihat keputusan seri di Shah Alam sebagai satu pencapaian yang baik buat Felda sambil memuji kesungguhan yang dipamerkan anak buahnya walaupun beraksi di depan penyokong The Red Giants.

"Saya rasa apabila berdepan pasukan besar seperti Selangor di laman mereka, ia seperti menentang Liverpool. Satu mata adalah satu pencapaian untuk kami yang ibarat Stoke City. Jadi, kami gembira dengan keputusan ini dan saya paling gembira dengan komitmen daripada pemain," ujarnya.