Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, dan pengendali Selangor, B. Sathiananthan, mengesahkan sudah menghantar surat balas kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kritikan mereka terhadap pengadil dalam aksi Liga Super 2019.

Abu Bakar memaklumkan beliau menghantar surat balas kepada Jawatankuasa Pengadil FAM sejurus menerima surat tunjuk sebab selepas mengeluarkan kenyataan berhubung kelemahan pengadil sewaktu aksi Liga Super di antara PKNP FC dan Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, 2 Februari lalu.

"Saya menerima surat berkenaan kerana mengkritik keputusan pengadil (Razlan Joffri Ali) menghadiahkan sepakan penalti dalam perlawanan tersebut, namun saya membalas surat berkenaan sambil menyertakan bukti rakaman perlawanan itu," katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam aksi di Manjung itu, Kedah menang 2-0 ke atas PKNP FC.

Sehubungan itu, Abu Bakar berharap FAM dapat memperbaiki kualiti pengadilan dalam perlawanan Liga Malaysia akan datang selepas mendakwa wujud kelemahan pengadilan dalam beberapa aksi awal Liga Super sebelum ini.

"Sekiranya FAM melihat penggunaan VAR (Video Bantuan Pengadil) melibatkan kos tinggi, saya mencadangkan supaya pengadil dapat melihat ulang tayang perlawanan tersebut pada waktu itu sebelum membuat keputusan muktamad," jelas pengendali berusia 47 tahun itu.

Sementara itu, Sathiananthan menjelaskan beliau sudah memberi surat balas dan bersedia menerima sebarang hukuman daripada FAM.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut berhubung perkara berkenaan tetapi saya sudah menghantar surat balas kepada FAM baru-baru ini," jelasnya.

Sathianathan mungkin dikenakan tindakan selepas mempertikaikan keputusan pengadil, Suhaizi Shukri, selepas aksi Selangor dengan Petaling Jaya City FC memandangkan Suhaizi turut mengadili perlawanan melibatkan Selangor sebelum itu.

Kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya itu 9 Februari lalu.

-- BERNAMA