Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar surat tunjuk sebab kepada ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, dan ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berhubung kritikan mereka terhadap pengadil baru-baru ini.

Kritikan terbuka itu mengundang tindakan tegas daripada FAM menerusi Jawatankuasa Pengadil dengan mengarahkan kedua-dua jurulatih itu mengemukakan sebab dalam tempoh dua minggu.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, ACP (B) Dali Wahid, menegaskan ia pendekatan baru bagi membuka ruang untuk jurulatih terlibat menyatakan alasan dan sebab kritikan itu disuarakan.

Jika ia dapat diterima, tindakan selanjutnya akan diambil dan jika ia terarah kepada emosi semata-mata, pihak yang terlibat akan dikenakan tindakan.

"Kami telah menghantarkan surat tunjuk sebab kepada mereka.

"Setakat ini, saya dimaklumkan kedua-dua mereka telah menerima surat berkenaan.

"Kami kini menantikan jawapan daripada mereka," katanya.

Sathianathan mengkiritik ketelusan pengadil selepas aksi Selangor dengan Petaling Jaya City FC menampilkan pengadil yang sama daripada perlawanan sebelumnya.

Kritikan Abu Bakar pula dilakukan selepas aksi menentang Kedah dengan mempersoalkan mutu pengadilan dalam perlawanan tersebut.

"Saya mengingatkan kepada pegawai persatuan agar tidak mengkritik FAM, terutama mengenai tugasan pengadil.

"Jika ada masalah berkaitan pengadil, saya mencadangkan agar mereka terus membuat bantahan rasmi kepada FAM," tambahnya.