Tiada pilihan kecuali fokus hanya mahu menang, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, sebagai mengulas pertemuan dengan Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Biarpun ia misi sukar, Posa yakin anak-anak buahnya akan dapat beraksi dengan baik.

"Dalam dua perlawanan terakhir, kami berjaya menghasilkan keputusan positif, termasuk seri ketika ketinggalan dua gol pada separuh masa di Terengganu.

"Saya menjangkakan semangat yang serupa dibawa ke Stadium Darulmakmur malam nanti," katanya lagi.

Mengakui ia perlawanan "hidup mati", Posa mahu anak-anak buahnya bermain bermati-matian.

"Usah tunggu aksi di Kuching selepas ini, iaitu bertemu T-Team dan Kedah jika mahu tiga mata.

"Kami perlu mulakannya pada saat in, kerana perolehan tiga mata ini akan menjamin bahawa pasukan ini kekal dalam gelanggang Liga Super tahun hadapan," tambahnya.

Ditanya sama ada prestasi dalam tiga perlawanan berbaki ini akan menentukan kedudukan pemain untuk musim depan, beliau tidak menafikan ia akan berlaku.

Bagi pengendali Sarawak, Pengiran Bala, perlawanan malam ini umpama perlawanan akhir kerana ia permulaan kepada penentuan kedudukan akhir Sarawak.

"Kami tahu ketajaman strategi Dollah Salleh dan kemampuan anak-anak buahnya dari semua segi.

"Namun, kami juga ada strategi kami sendiri, terutama senjata-senjata baharu kami yang semakin menyerlah dan matang dalam beberapa aksi kebelakangan ini," ujarnya yang merujuk pemain-pemain Piala Presiden yang diangkat sebagai kesebelasan utama kebelakangan ini.

Cuma yang agak ralat, katanya, Sarawak tidak dapat menurunkan kapten, Ronny Harun, yang masih dibebani kecederaan.

"Saya berharap mereka dapat bermain mengikut strategi yang dilakar, seterusnya sekali lagi mencipta keputusan yang positif.

"Seluruh Sarawak berada di belakang mereka," tambahnya lagi.