Misi Terengganu FC (TFC) untuk mendapatkan tiga mata ketika bertemu Selangor di Cheras, Ahad ini, sedikit berliku susulan ketiadaan dua tonggak import, Andrew Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin, yang digantung perlawanan.

Kelibat pemain berpengaruh itu terpaksa dilupakan pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim, yang mengakui sukar mencari pengganti, khususnya aura Tuck dalam menggerakkan jentera tengah skuad Penyu.

Bagaimanpun, jurulatih berpengalaman itu enggan menjadikannya alasan, sebaliknya meletakkan keyakinan anak tempatan mampu menggalas tugas dalam aksi terakhir Liga Super itu.

"Messi (Mohd Faiz Nasir) boleh ganti tempat Lee Tuck.

"Walaupun tahap kecergasannya belum mencapai 100 peratus, kembalinya Mohd Shahrul Aizad dari kecederaan juga tepat pada masanya," ujar Irfan.

Turut disisihkan adalah Abdul Malik Mat Ariff yang mengalami kecederaan tulang rusuk dan masih memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua minggu untuk pulih.

Terengganu masih berpeluang muncul naib juara Liga Super sekiranya menang ke atas The Red Giants, sambil mengharapkan Perak dan Pahang masing-masing tumpas kepada PKNS FC dan Kelantan.

Irfan turut mengingatkan barisan kendaliannya agar menutup saingan liga dengan kedudukan terbaik dalam penampilan semula Terengganu di pentas Liga Super, selepas tersingkir ke Liga Perdana, musim lalu.

"Pemain-pemain sedia maklum sasaran pasukan musim ini, iaitu menduduki tempat kedua atau ketiga.

"Jadi, sudah tentu saya mahukan kemenangan walaupun hanya satu gol," tambahnya.