Sang Penyu atasi PKNP

Oleh Tengku Danish Bahri 9 Jun 2018 4950
Sang Penyu atasi PKNP
TERENGGANU 2 PKNP FC 1

Aksi kemas dalam babak kedua memastikan Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan 2-1 ke atas PKNP FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Kelebihan selaku tuan rumah digunakan TFC untuk bermula garang dan tindakan kurang cermat penjaga gol lawan, Shafiq Afifi Suhaimi, pada minit ke-18 hampir dihukum J. Partiban, namun percubaannya tinggi melepasi pintu gol.

Tiga minit kemudian, hantaran Lee Andrew Tuck dari sebelah kiri terus mencemaskan PKNP yang menyaksikan tindakan susulan Partiban dikeluarkan pertahanan lawan di atas garisan gol.

Pelawat memperkemaskan rentak melalui ayam tambatan, Shahrel Fikri Md Fauzi, yang membuat tandukan berbahaya yang begitupun dapat ditepis sebelum tandukannya (m-36) sekali lagi tersasar ke sebelah tepi ketika Mohd Suffian Rahman sudah tertewas.

Penjaga gol PKNP, Shafiq Afifi, beraksi cemerlang di penghujung babak pertama dan awal separuh masa kedua dengan menafikan rembatan jarak jauh Tuck serta dua sepakan percuma Do Donghyun.

Anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim semakin agresif memburu gol pendahuluan dan usaha mereka hanya berhasil pada minit ke-67 apabila Kipre Tchetche menanduk kemas hantaran Donghyun.

Gandingan Tchetche dan Donghyun terus menceriakan Sang Penyu dengan gerakan berbahaya sebelum Tuck menyambar percubaan pertama tonggak import TFC kelahiran Korea Selatan itu untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-70.

Pertahanan import PKNP, Kim Sang-woo, merapatkan kedudukan 1-2 melalui tandukan pada minit ke-79, malangnya sudah terlewat untuk menghidupkan kebangkitan skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu.


KEPUTUSAN LAIN:

LIGA SUPER

MELAKA UNITED 2 K LUMPUR 4

TERENGGANU 2 PKNP FC 1

PERAK 2 N SEMBILAN 0

LIGA PERDANA

MISC-MIFA 2 SARAWAK 2

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen