Pemain import baru Selangor, Sandro da Silva, mengidamkan jaringan ke gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas melakukannya sebanyak tiga kali ketika bersama Kedah musim lalu.

Bagi Sandro, adalah menjadi kepuasan untuknya jika setiap kali cemerlang mencetak jaringan, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pasukan terbaik dalam saingan liga.

Menjelang aksi dengan JDT malam esok, penyerang kelahiran Brazil itu masih menyimpan hasrat yang sama selepas kali terakhir membantu Kedah menyumbang satu daripada tiga jaringan kemenangan ke atas Harimau Selatan itu dalam aksi Piala Malaysia yang lalu.

"Dalam pertemuan terakhir melibatkan saya menentang JDT, saya membantu Kedah menang 3-1 dan saya turut mencetak nama selaku penjaring.

"Tetapi itu semua sudah berlalu, ini cerita baru dan perlawanan baru. Kami perlu melakar kemenangan untuk Selangor dan yang paling penting, memenangi tiga mata tanpa mengira siapa pun yang muncul penjaring," katanya.

Hadir ke Selangor dalam keadaan Gergasi Merah masih mencari rentak bagi saingan musim 2019, Sandro berharap kelibatnya bersama pasukan mampu mengubah keadaan.

Apa yang pasti, Sandro perlu segera menemui keserasian dengan rakan pasukan barunya selain taktikal pengendali berpengalaman, B. Sathianathan.

"Saya sedar kedudukan kami dalam liga tidak bagus, kami perlu bekerjasama.

"Tiada pemain yang boleh melakukan segalanya secara bersendirian, tiada siapa yang boleh menjadi wira tunggal.

"Kalau berhasrat mencapai kemenangan, kami perlu bekerjasama dan saling membantu.

"Selangor mempunyai skuad yang bagus," tambahnya.