Pemain import Selangor, Sandro da Silva, mengakui hanya kemenangan mampu meredakan kemarahan penyokong The Red Giants yang semakin muak dengan prestasi hambar pasukan itu menjelang pertemuan dengan PKNP FC di Stadium Shah Alam, malam ini.

Selangor melakar rekod buruk dalam aksi liga di laman sendiri musim ini.

Daripada lima perlawanan di Shah Alam, skuad Gergasi Merah itu hanya mampu melakar satu kemenangan -- 1-0 ke atas Terengganu FC -- selain dua keputusan seri dan dua kekalahan.

"Saya berharap pasukan kami akan meraih satu lagi kemenangan.

"Kami sedang berusaha untuk melakukannya.

"Kami berusaha keras dan segala-galanya boleh berlaku dalam bola sepak.

"Apabila tewas sesuatu perlawanan, ia tidak bermakna anda akan tewas dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Episod duka terus menyelubungi skuad kendalian B. Sathianathan itu selepas dimalukan Felda United untuk tersingkir daripada saingan Piala FA di venue sama, Selasa lalu.

Sandro turut menyedari penyokong Selangor sudah mula hilang sabar dengan prestasi longlai pasukannya dan hanya pungutan tiga mata di Stadium Shah Alam malam ini dapat meredakan situasi itu.

"Semua orang sedih kerana kami menyangkakan kami akan layak ke pusingan seterusnya, namun adakalanya bola sepak seperti itu.

"Jika berpeluang, anda perlu membunuh lawan.

"Jika anda tidak melakukannya, mereka akan membunuh anda," tambahnya.