Tonggak tengah Kedah, Sandro Da Silva, satu-satunya pemain import yang akan diturunkan skuad Hijau Kuning dalam pertemuan dengan Terengganu di laman sendiri malam ini, berjanji akan mencuba sedaya-upaya untuk mendapatkan keputusan positif walaupun sedar berdepan tugas berat kerana ketiadaan ramai pemain utama.

Tanpa gandingan tiga serangkai di bahagian serangan, iaitu Liridon Krasniqi, Andik Vermansyah dan Akhyar Rashid, Sandro yang diletakkan di posisi penyerang utama pasti berdepan detik sukar menghadapi benteng pelawat.

Tiada pilihan lain, Sandro cuma berharap pemain lain yang diturunkan mampu menyerlah selain berazam mahu mengulangi prestasi sama ketika diletakkan selaku penyerang utama sewaktu berdepan Pahang pada 5 Mei lalu.

Dalam masa sama, Kedah juga tidak dapat menurunkan Paulo Rangel selepas menerima kad merah dalam pertemuan terakhir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

"Dalam aksi terakhir, saya bermain selaku penyerang ketika berdepan Pahang. Ia memberikan kenangan manis kerana saya mencatat dua jaringan tetapi setiap perlawanan pasti berbeza.

"Kini, saya kembali selepas episod kecederaan panjang tetapi semua pemain perlu bersedia untuk berkorban, terutama dalam baki tiga perlawanan," katanya.

Sementara itu, Sandro mengakui ketiadaan rakan senegaranya, Rangel, pasti dirasai kerana pemain itu sering memberi masalah besar kepada pertahanan lawan, namun itu bukan alasan untuk Kedah gentar berdepan Terengganu di Alor Setar.

"Sudah pasti dirasai kerana Rangel adalah penyerang yang bagus. Apabila dia beraksi, pihak lawan sering terganggu dengan kelibatnya.

"Namun, inilah bola sepak. Kadangkala, anda kehilangan pemain utama."