Pemain import Selangor, Sandro Da Silva, mengakui berasa janggal sebaik tiba di Alor Setar, Kedah, dengan membawa nama Selangor.

Namun, atas dasar profesional, Sandro menggalas misi untuk memastikan kekecewaan buat Kedah yang pernah menaikkan namanya sebelum ini.

Malah, dia tidak dapat membayangkan perasaannya menjelang aksi malam ini.

"Saya berasa agak janggal. Saya pernah menabur bakti selama empat tahun di sini. Saya gembira tetapi dalam masa yang sama berasa pelik.

"Saya tidak tahu reaksi saya apabila turun beraksi di depan penyokong Kedah nanti.

"Saya akan cuba berfikir secara positif, saya cuba melaksanakan tugas dan menumpukan perhatian kepada perlawanan sahaja," ujarnya.

Selain Sandro, empat lagi bekas tonggak Lang Merah terdiri daripada Halim Saari, Khyril Muhymeen Zambri, Syazwan Zainon dan Latiff Suhaimi.

Jika Kedah bertegas dengan keampuhan mereka di Stadium Darulaman, satu fakta yang perlu diakui skuad kendalia Aidil Sharin Sahak itu, Gergasi Merah memiliki rekod yang cemerlang beraksi di tempat lawan.

"Keempat-empat pemain yang pernah beraksi untuk Kedah, saya mengharapkan mereka akan berikan yang terbaik dan buktikan bahawa mereka masih lagi relevan.

"Mereka tidak boleh bermain dengan sikap individu, mereka harus bermain secara berpasukan," kata ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan.