Saingan Liga Super 2019 lebih sengit -- Shukor

Oleh Bernama 23 Januari 2019 2851
Saingan Liga Super 2019 lebih sengit -- Shukor
Kapten Melaka, Shukor Adan, meramalkan persaingan sengit melibatkan pasukan berstatus negeri bakal berlaku dalam misi merebut kejuaraan Liga Super 2019 yang akan bermula pada 1 Februari ini.

Ia kerana Shukor, 39, melihat sebahagian besar pasukan negeri melakukan persiapan terbaik bagi mengharungi musim baru dengan mengadakan latihan pra-musim di luar negara selain mengambil tenaga import berkualiti tinggi.

Justeru, bekas pemain kebangsaan yang mempunyai 43 penampilan bersama skuad negara itu percaya saingan  perebutan takhta Liga Super lebih sengit jika dibandingkan dengan musim lalu.

“Kita dapat lihat betapa serius pasukan negeri, antaranya Terengganu, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor dan malah Melaka sendiri sibuk menguruskan persiapan dan persediaan terbaik biarpun sebahagian besar pasukan itu sedang berusaha mengurangkan kos dengan mengehadkan dana musim ini.

“Saya fikir musim baru ini akan menjadi titik kebangkitan pasukan negeri dan Pahang sendiri membawa pulang bekas pemainnya, Dickson Nwakaeme, di mana ia menunjukkan mereka juga serius untuk merebut kejuaraan Liga Super,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Shukor mengakui berasa terharu selepas diberikan amanah dan penghormatan untuk menjadi kapten baru Melaka meskipun hanya sebulan menyertai skuad Sang Kancil itu Disember lalu.

Bekas pemain Felda United itu optimis mampu melaksanakan tugas dengan baik apabila dibantu beberapa pemain berpengalaman yang pernah menggalas tugas tersebut, antaranya Safiq Rahim, Mohd Razman Roslan dan Khairul Fahmi Che Mat.

“Saya cukup bertuah kerana memiliki ramai rakan sepasukan yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya. Secara peribadi, saya menganggap kehadiran mereka akan dapat membantu membentuk persefahaman pasukan dengan lebih baik,” katanya.

Melaka yang menamatkan kempen Liga Super 2018 di tangga ketujuh bakal memulakan aksi berdepan pendatang baru, Petaling Jaya City FC yang dikenali sebagai MIFA sebelum ini, di Stadium Hang Jebat pada 2 Februari.

Tentang Penulis

Bernama

Komen