Pertahanan Kuala Lumpur, Saiful Nizam Miswan, melihat satu cabaran getir buat kubu pasukannya bagi membendung asakan Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana juara Liga Super 2018 itu pasti turun dengan misi mahu membalas dendam kekalahan 1-0 dalam pertemuan pusingan pertama liga, 11 Februari lalu.

Berdepan pasukan seperti JDT, ia bukanlah satu perkara yang asing buat pemain berusia 37 tahun itu ketika bersama Pahang dari 2009 sehingga 2017.

Sambil mengakui pertemuan dengan JDT sentiasa sengit, pemain yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu mengharapkan penamat yang sempurna buat skuad Warga Kota itu tatkala membawa harapan cuba mencuri satu mata di Larkin malam ini.

"Daripada segi setiap posisi, JDT ternyata memiliki pemain yang bagus.

"Jurulatih pasti akan memilih barisan terbaik untuk memberikan saingan dan kami mengharapkan keputusan yang positif diraih dalam aksi terakhir liga, musim ini," katanya.

Dalam masa sama, Saiful yang lebih mesra dipanggil Poyeng berpuas hati dapat membantu skuad bimbingan Fabio Maciel itu kekal semusim lagi di pentas Liga Super.

Baginya, walaupun tidak konsisten, situasi itu adalah lumrah buat mana-mana pasukan yang naik ke Liga Super dan dia berharap Kuala Lumpur mampu beri cabaran lebih bermakna musim depan.

"Tahun pertama berada dalam Liga Super, tentu normal buat mana-mana pasukan untuk bersaing. Buat Kuala Lumpur, kami bersyukur dapat mengharunginya.

"Bagi saingan tahun depan, terpulang kepada pengurusan untuk membentuk semula pasukan ini."