Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak terdesak untuk menjual Safuwan Baharudin walaupun sebuah kelab gergasi di Thailand membuat tawaran lumayan untuk mendapatkan khidmat tonggak tengah dari Singapura itu.

Baru-baru ini, tular di laman sosial mengenai ucapan perpisahan di antara Safuwan dan seorang lagi pemain tengah skuad Gergasi Merah itu, Sandro Da Silva.

Ia selepas bekas pemain Pahang dan PDRM itu dikhabarkan akan berhijrah ke salah satu kelab di Thailand menerusi satu tawaran lumayan.

Difahamkan, tawaran itu akan membolehkan Selangor membeli dua lagi pemain import tetapi urusan perpindahan itu dibatalkan dan ketua jurulatih, B. Sathianathan, mengakui Safuwan masih berada dalam perancangannya.

"Ada perbincangan di antara kelab kami dan kelab di Thailand," kata Sathianathan.

"Itu menunjukkan bahawa Safuwan mempunyai kualiti.

"Kami berbangga dengan apa yang kami ada, iaitu seorang pemain yang berkualiti.

"Sebagai jurulatih, saya tidak mahu kehilangannya.

"Tetapi inilah bola sepak dan kami perlu memikirkan tentang kebaikan pemain.

"Namun, setakat ini, tiada apa-apa lagi," katanya.

Perkhabaran itu sememangnya mengejutkan memandangkan Safuwan baru sahaja menandatangani kontrak bersama pasukan itu musim ini.

"Saya tidak akan tahan dan paksa seseorang. Saya tidak suka.

"Sebagai jurulatih, saya lebih suka jika mereka merelakan diri untuk bermain.

"Mereka perlu gembira berada dalam pasukan.

"Tetapi saya melihat Safuwan sudah memenuhi syarat itu," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa