Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, tidak menafikan terdapat rundingan melibatkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dengan bekas kapten negara, Safiq Rahim, yang mungkin akan menyarung jersi skuad Hijau Kuning itu dalam masa terdekat.

Khabar angin bertiup kencang mengenai Safiq yang bakal menyarung jersi Kedah.

Bagaimanapun, segala-galanya masih dalam proses rundingan melibatkan kedua-dua pihak walaupun terdapat dakwaan menyatakan bahawa pemain perancang itu akan tiba di Alor Setar, esok.

Aidil ketika ditanya mengenai spekulasi itu tidak dapat memberikan sebarang jawapan tepat.

"Saya tidak tahu apa-apa setakat ini.

"Perkara itu tidak datang daripada pihak saya.

"Saya hanya mahu menitikberatkan terhadap pemain dan pasukan saya terlebih dahulu.

"Saya tidak dapat memberikan komen kerana tugas saya hanya untuk membimbing pasukan.

"Namun, ia terpulang kepada pihak pengurusan," katanya.

Dakwaan mengenai kewujudan rasa kurang senang segelintir pemain Kedah terhadap kemasukan Safiq dinafikan oleh kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar, yang sedia menerima setiap keputusan daripada pihak pengurusan.

"Sebagai pemain, saya hanya mengikuti keputusan daripada pihak pengurusan.

"Saya hanya menumpukan kepada sesi latihan dan hari perlawanan," katanya.